Our social:

Teluk Cempedak | Destinasi Pilihan Di Bandar Kuantan Pahang

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabaraktuh, Hai.. baru-baru ini saya berkesempatan untuk pulang ke kampung halaman yang berada di daerah Kuantan, Pahang dan dengan itu saya juga sempat bersiar-siar di salah satu kawasan riadah yang amat terkenal di Kuantan iaitu Teluk Cempedak. Untuk kali ini saya amat berbesar hati untuk berkongsi serba sedikit dengan anda apa aktiviti menarik yang terdapat di Pantai Teluk Cempedak ini.

Teluk Cempedak sememangnya terkenal di kalangan pengunjung dari Kuantan, Terengganu, Kelantan malah  pengunjung dari pelbagai  pelusuk negara. Pantainya yang indah, cantik dan berpasir putih itulah tarikan utama untuk pengunjung bersiar-siar malah ada yang mandi laut. Teluk Cempedak ini juga dikenali sebagai (TC) ianya tidak lekang dengan pengunjung di waktu-waktu hujung minggu, siang atau malam.




Ketika saya sampai di Teluk Cempedak ini terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan dan sangat meriah riuh gamat dengan pengunjung-pengunjung yang berada di sana. Antara aktiviti yang diadakan adalah pelbagai jenis gerai yang menjual barangan seperti baju kanak-kanak, dewasa, makanan, pertandingan mewarna dan persembahan yang sangat menarik.



Di sini terdapat juga pelbagai jenis gerai-gerai yang menjual barangan seperti cenderahati, keychain (rantai kunci), fridge magnet (pelekat magnet), gelang, rantai, permainan kanank-kanak dan macam-lagi. Sekiranya anda berkesempatan datang di waktu tengahari sampai ke waktu petang anda pasti dapat lihat dan menikmati buah-buahan potong dan aiskrim yang dijual oleh penjual di tepi-tepi susur berjalan kaki berhampiran pantai Teluk Cempedak itu.


Jika anda ingin makan-makan tidak perlu risau kerana di Teluk Cempedak ini banyak tempat makan yang menarik dan terdapat banyak pilihan untuk anda seisi keluarga antaranya inilah Restoran Makan Segera 24 jam dan gerai-gerai menjual makanan dan masakan panas yang terletak ditepi pantai.

Berhampiran di kawasan gerai-gerai itu terdapat tempat permainan kanak-kanak untuk anak-anak anda bermain seperti mini go-kart dan boucy castle, dengan adanya permainan ini anda bolehlah berehat sambil memerhatikan aank-anak anda sedang bermain.


Mini Go Kart


Susur Pejalan Kaki

Gerai-gerai jualan

Aktiviti Pertandingan Mewarna sedang berjalan ketika itu

Selain itu, sekiranya anda bercuti atau menginap di sekitar kawasan Teluk Cempedak ini anda dan seisi keluarga juga berpeluang untuk menikmati aktiviti menarik yang disediakan seperti mandi laut, bermain layang-layang, banana boat, jetski, sukan pantai dan lain-lain lagi.


Anda tidak perlu risau di kawasan pantai ini terdapat kemudahan asas yang lengkap dan sangat berdekatan dengan persisir pantai antaranya tandas awam, bilik mandi dan surau.



Kebiasaannya bagi pelancong atau pengunjung di luar kawasan Kuantan tidak lengkap kalau tidak dapat menginap, ok di sini saya kongsikan sedikit sekiranya anda memilih untuk menempah penginapan yang berdekatan:

  1. Hotel Hyatt Regency - Hotel yang betaraf 5 bintang berkedudukan betul-betul di tepi pantai.
  2. Kuantan Tembeling Resort - terletak agak jauh dari pantai Teluk Cempedak tetapi agak menarik dengan adanya kemudahan kolam renangyang luas.
  3. Hotel-hotel bajet juga tidak berapa jauh untuk anda pilih iaitu TC Beach Resort, RZ Guest Hotel, Nusantara Bajet dan Anjung Selesa.
Selain itu, anda tidak perlu khuatir kerana anda masih boleh memilih dan mendapatkan penginapan terbaik yang berada dalam kawasan bandar Kuantan, tetapi adalah lebih baik jika anda menempah sendiri secara online (atas talian) sebelum melancong kerana kadang-kadang hotel-hotel di Kuantan sentiasa penuh, apa-apa pun yang paling penting adalah keselesesaan anda dan keluarga adalah menjadi aspek utama apabila melancong.

Bagi anda yang belum pernah atau masih tercari lokasi pantai Teluk Cempedak ini berada di sini saya inigin berkongsi sedikit lokasi dan perjalanan untuk datang melawat ke sini.

Pantai Teluk Cempedak ini terletak hanya kira-kira 5 kilometer dari bandar Kuantan. Anda boleh terus memandu kenderaan sendiri hingga sampai ke destinasi atau map (peta) carian Google (Teluk Cempedak, Kuantan) dan pasti anda dapat sampai dengan mudah atau dari Kuala Lumpur anda ikut Lebuhraya Karak dan ikut susur keluar ke Gambang untuk ke Kuantan, anda akan melalui bandar Kuantan dan melalui Jalan Teluk Sisek. Kemudahan papan tanda dan teknologi GPS pasti akan membantu anda tiba ke lokasi dengan mudah.

Sekiranya anda memilih untuk menggunakan pengangkutan perkhidmatan awam, anda boleh, mengambil bas ekspress ke Terminal Sentral Kuantan di jalan Gambang-Bypass kemudian anda boleh mengambil teksi atau Bas Rapid Kuantan. Selain itu juga, sekiranya anada menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dan mengambil teksi untuk ke Pantai Teluk Cempedak.

1 ulasan:

  1. Terima kasih unto blog ini, sekarang saya lebih berpengetahuan tentang kawasan ini.

    BalasPadam