Bila dah bergelar ibu yang ada anak kecil memang susah nak 'maintain' rumah bersih dan kemas sepanjang masa. Walaupun anda sudah mula mengemas sejak awal pagi tetapi tak boleh dijangka berapa lama ia boleh bertahan.
Semua wanita yang bergelar ibu tak kira sama ada bekerja atau suri rumah mesti mengalaminya. Walaupun sibuk 'gila', rumah tetap perlu diurus dengan kemas dan bersih. Kalau tak, boleh pitam Encik suami. Mengemas rumah lebih terurus dan bijak dengan mengikut tip berikut ini.

1. Tak perlu 'perfect' sangat

Anda tak perlu terlalu fokus untuk sentiasa memastikan rumah kemas 24 jam kalau ada anak kecil. Sesekali biarkan sahaja mainan si kecil berterabur (sebelum dikemas semula). Sementara itu siapkan tugas yang lain dulu. Ingatlah tak ada yang sempurna di dunia ini.

2. Bijak mengemas

http://www.majalahpama.my/polopoly_fs/1.617914.1485400944!/image/image.jpg


Bila jadi ibu, anda kenalah bijak membuat kerja rumah. Dengan kata lain, dalam satu masa anda perlu buat bermacam jenis tugasan. Contohnya, sambil lalu di ruang tamu untuk ke dapur, kemas segala buku yang nampak berterabur.

Sambil mendukung si kecil di pinggang, sangkut pakaian dalam almari. Selesaikan tugas yang mudah dan kecil boleh membuatkan anda rasa lega kerana kalau nak fokus padanya sahaja memang ambil masa lama.

3. Dapatkan bantuan

Kalau ada ramai anak, gunalah kelebihan yang ada untuk memudahkan tugas anda. Daripada mereka membuat sepah lebih baik anda bagi mereka tugas. Biasanya si kecil jadi teruja kalau dapat tugasan macam orang dewasa.

Berikan tugasan bersesuaian mengikut usia anak. Suruh anak usia 3 tahun, kemas mainan, yang 5 tahun pula menyusun buku yang bersepah sementara yang 7 tahun menyapu sampah. Sekurang-kurangnya ia dapat kurangkan bebanan kerja anda.


4. Pilih masa terbaik

Adakah anda jenis yang suka buat kerja di awal pagi atau di tengah malam? Mana satu anda lebih produktif? Ada ibu yang suka bangun sebelum subuh untuk menyiapkan kerja-kerja rumah sebelum si kecil bangun tidur. Ada pula yang jenis suka buat kerja rumah pada lewat malam selepas si kecil tidur lena. Terpulang pada diri sendiri. Yang penting rumah berkemas tanpa migrain!

5. Fokus pada satu tugas sahaja

Mesti semua ibu biasa menghadapi situasi kerja rumah 'berlambak' lepas tu tak tahu mana satu nak buat dulu. Pinggan mangkuk penuh di sinki, makanan berterabur di lantai dan si kecil pula menumpahkan minuman di ruang tamu. Jangan pening. Fokus pada satu tugas sahaja dalam satu masa dan lakukan secara  bergilir. Barulah tak stres.

6. Kumpul pakaian kotor untuk dicuci

Ajar anak untuk meletak pakaian kotor dalam bakul yang disediakan di satu tempat spesifik. Sama ada anda membasuh pakaian setiap pagi atau pun malam, pastikan semua pakaian kotor terkumpul untuk dimasukkan dalam mesin basuh. Lepas itu terus sidai pakaian dan jangan bertangguh kerana ia hanya akan menambah bebanan kerja.

7.  Jadualkan tugasan



Tak semua kerja rumah mesti dilakukan setiap hari. Kerja membasuh pinggan mangkuk memang kena buat setiap masa tapi mencuci tandas hanya perlu dilakukan seminggu sekali. Buat jadual dan tulis senarai kerja rumah yang mesti dibuat pada kalendar dengan cara menyenaraikan mengikut harian, mingguan dan sebagainya.

Lekatkan senarai ini pada peti sejuk supaya anda mudah melihatnya. Cara ini juga dapat mengurangkan rasa tertekan bila memikirkan bila nak mencuci tandas.

8. Tetapkan masa

Memang agak melemahkan semangat bila tengok banyak benda nak kena buat. Jadi untuk meningkatkan motivasi diri sendiri, cuba tetapkan matlamat kecil. Beritahu diri sendiri yang anda akan membersihakan sesetengah bilik dalam masa 10 minit sahaja. Tetapi kalau anda boleh buat lebih lama, ia lebih bagus. Kalau tidak, 10 minit pun sudah ok! Memberikan had masa kepada diri sendiri membantu anda meningkatkan stamina dan semangat.

9. Ambil kesempatan hari cuti

Jika anda ibu bekerjaya, memang sukar untuk mencari masa mengemas rumah. Jadi, ambil kesempatan pada hari cuti. Tetapkan masa antara satu atau dua jam untuk membersihkan rumah. Jangan lakukan sendirian, tapi jadikan ia hari keluarga! Selepas semua ahli keluarga selesai buat kerja rumah, keluarlah bersiar-siar atau lakukan aktiviti menggembirakan bersama.

10. Kemas sebelum tidur

Peruntukkan sedikit masa sebelum tidur untuk mengemas rumah. Mungkin cukup hanya 10 -15 minit. Tak perlulah sampai berjam-jam. Sedikit masa yang diperuntukkan untuk mengemas memberikan perbezaan yang besar. Anda akan bersyukur bila bangun pagi sebab rumah kemas tidak berselerak.

Rumah bersih memang akan membuatkan hati anda senang tapi jangan paksa diri untuk lakukan semua kerja rumah sendirian dan sentiasa nak sempurna 100% sepanjang hari. Ingatlah yang memiliki keluarga bahagia itu lebih penting berbanding mempunyai rumah yang sangat bersih.

sumber : HASNITA PAMA, majalahpama