Our social:

Karoshi: Bekerja Sampai Mati, Budaya Kerja Yang Menakut Di Jepun

Orang Jepun memang terkenal kuat bekerja. Oleh kerana orang Jepun juga terkenal dengan disiplin tinggi, komitmen mereka terhadap kerja tidak dapat dinafikan. Budaya kerja yang penuh disiplin menjadi imej orang Jepun sejak dulu hingga kini, dan sering dijadikan contoh masyarakat lain di dunia.
Namun budaya terlalu kuat bekerja itu rupa-rupanya bukan semua yang boleh dijadikan ikutan. Terlalu kuat bekerja pun ada kesan negatifnya kepada orang Jepun.
Media baru-baru ini melaporkan budaya ‘terlalu kuat bekerja’ di negara matahari terbit itu menyebabkan statistik ‘kematian akibat terlebih kerja’ atau diterjemahkan dalam bahasa Jepun sebagai ‘karoshi’ mencatatkan rekod tertinggi 1,456 kes pada akhir Mac 2015.
Kementerian Buruh Jepun menganggarkan kira-kira 200 kematian karoshi berlaku setiap tahun sama ada disebabkan sakit jantung atau strok gara-gara waktu bekerja yang terlalu panjang.
Dilaporkan 22 peratus rakyat Jepun bekerja lebih 49 jam seminggu, berbanding 16 peratus rakyat Amerika dan 11 peratus di Perancis dan Jerman. Negara yang lebih kronik dengan 35 peratus rakyatnya bekerja terlebih masa ialah Korea Selatan,
Tidak sampai separuh daripada purata sembilan hari bilangan cuti setahun yang diperuntukkan kepada pekerja di Jepun, dimanfaatkan oleh mereka. Nampaknya rakyat Jepun lebih rela bekerja daripada berehat atau bercuti. Dan mereka bekerja bukan sekadar ‘9 to 5’ atau waktu pejabat sahaja sebaliknya sanggup bekerja lebih masa.
Tidak pasti sahih atau tidak, sering dikatakan para isteri lelaki Jepun akan berasa susah hati jika suami mereka pulang awal dari pejabat. Bagi mereka, ini petanda yang si suami tidak diperlukan di pejabat. Maknanya, lebih lambat balik kerja lebih baik. Walaupun mungkin bermula dengan ‘hendak menyedapkan hati isteri’, lama-kelamaan amalan balik kerja lambat menjadi budaya rakyat Jepun.
Maka timbullah perkataan ‘karoshi’ iaitu bekerja sampai mati. Maknanya bekerja terlalu kuat sampaikan boleh membawa maut.
Di negara kita, ‘bekerja sampai mati’ boleh juga dibaca dengan intonasi atau nada berbeza, yang membawa makna berlainan.

Tidak seperti ‘karoshi’ di Jepun iaitu terlalu kuat bekerja sehingga membawa maut, ‘bekerja sampai mati’ di negara kita lazimnya dikaitkan dengan ‘bekerja sepanjang hayat’ atau dalam kata lain, ‘bekerja sampai tua ganyut’. Jarang sangat kita mendengar rakyat Malaysia yang mati kerana terlalu kuat bekerja.
Namun dengan tekanan kos sara hidup dan perubahan perspektif kehidupan berasaskan kebendaan atau materia­listik, tidak mustahil apa yang berlaku kepada masyarakat Jepun itu juga akan melanda negara kita pada masa depan.
Di sinilah pentingnya konsep wasatiyah atau kesederhanaan dalam kehidupan seperti yang disarankan oleh ajaran Islam. Sebagai umat Islam, kita dituntut bersederhana dalam segala aspek.
Bersederhana dalam pertuturan. Maknanya jangan berlebihan ketika bercakap sebab apabila kita berlebih-lebihan pasti timbul riak, sombong dan bongkak. Kerap terjadi dan pernah terbukti, apabila sedap bercakap dan seronok mendengar suara sendiri, kita akan jadi terlupa mendengar pandangan orang lain. Apabila terlalu banyak bercakap pun, banyak kerja yang tertangguh dan tidak menjadi.

Kita juga diingatkan agar bersederhana ketika berbelanja. Yang ini mudah dan senang difahami. Maknanya jangan boros dan membazir, tidak kiralah ketika ber­belanja makan, membeli barang dapur, barang yang tidak ada ke­perluan mendesak atau dengan kata lain sekadar bermewah-mewah.
Apabila kita bersederhana sudah tentu kita hanya berbelanja mengikut keperluan, sebaliknya apabila jika tidak bersederhana maka timbullah pembaziran dan pemborosan.
Yang pastinya, bersederhana tidak akan membawa mudarat.
Bersederhana dalam bekerja bukanlah bermakna membuat kerja ala kadar, sebaliknya melakukan kerja sebaik-baiknya tetapi tidak berlebih-lebihan sehingga jatuh sakit.
Jika bekerja ‘9 to 5’ atau lapan jam sehari itu normal, ditambah OT atau kerja lebih masa sejam dua sehingga 10 jam dianggap lebih daripada normal, bayangkan kalau bekerja lebih daripada itu, setiap hari, tanpa cuti rehat – tentu sahaja tidak normal dan menempa maut namanya.
Bekerja, bekerja juga namun kesihatan perlu dijaga. Lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas melampau akibat fenomena El-Nino yang melanda negara kita.
Sekali-sekala ambillah cuti dan luangkan masa berkualiti bersama keluarga. Adalah sebabnya kenapa setiap pekerja diperuntukkan sejumlah cuti setahun. Yang pasti ada masa bekerja dan ada masa berehat.
Bagaimanapun jangan pula selepas ini ada sesiapa yang memandai-mandai mengambil cuti sakit dan cuba mengelak buat kerja atas alasan ‘karoshi’ atau takut mati jika terlebih kuat bekerja.
Lebih tak masuk akal dan mengada-ngada kalau alasan ‘karoshi’ diberikan oleh anak-anak muda yang lebih rela menganggur daripada mencari kerja terutamanya dalam sektor 3D – dirty, difficult and dangerous (kotor, sukar dan bahaya). Rasa-rasanya di Malaysia ini lebih ramai yang dapat penyakit kerana ‘terlebih berehat’ bukannya ‘terlebih kuat bekerja’
Sumber : Utusan

0 comments:

Catat Ulasan